Mereka yang tidak lagi memiliki tilam, bantal dan selimut yang tenggelam di dalam banjir serta disaluti lumpur, kini tidur dengan beralaskan lengan, surat khabar, tikar, plastik dan kampit beras.

Mohd Baharudin Awang, 56, berkata, dia hanya sempat menyelamat sehelai tikar dan itu pun sudah diberikan kepada jirannya untuk mengalas tempat tidur anaknya yang berusia dua tahun.

"Saya sayu melihat anak kecil mereka tidur beralaskan surat khabar," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, dia dan keluarganya kini tidur beralaskan pakaian yang telah dikoyak menjadi tikar dan berselimutkan kain batik.

"Saya sangat berharap ada pihak yang memberi bantuan selimut dan bantal kepada mangsa yang memerlukannya," katanya.

Sementara itu Che Muji Ismail, 78, berkata dia juga memerlukan kelengkapan tidur.
"Kami memerlukan bantal, selimut dan toto. Anak dan cucu saya terpaksa tidur beralaskan surat khabar. Kami berasak-asak tidur atas sehelai tikar. Kami juga kekurangan selimut," katanya. - BERNAMA